Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2015 itu diluluskan sebulat suara oleh ahli DUN tanpa sebarang perbahasan.

Sebahagian besar bajet tambahan iaitu sebanyak RM114 juta diperuntukkan kepada Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri yang mana sebanyak RM60 juta digunakan bagi menampung kos kelulusan saham kerajaan negeri kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

Sejumlah RM46.4 juta pula untuk Tabung Malapetaka Negeri bagi kos perbelanjaan semasa banjir besar di negeri ini.

Tambahan bajet itu juga membabitkan emolumen berjumlah RM4.6 juta selaras dengan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 (Pindaan) 2015 yang diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Pahang 2015 pada 29 Mei lalu iaitu bagi menampung kenaikan gaji 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta 42 ADUN.

Bajet itu turut melibatkan bantuan pertubuhan dan sumbangan lain (RM5 juta), perubatan/hemodialisis (RM2 juta), kajian dan pembangunan artifak Lembaga Muzium Pahang (LMP) (RM100,000) serta kekurangan belanja pengurusan LMP (RM518,724).
Dalam pada itu, persidangan DUN berkenaan turut meluluskan penubuhan Perbadanan Muzium Pahang bagi menggantikan LMP.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin ketika membentangkan usul berkenaan berkata, penubuhan Perbadanan Muzium Pahang adalah bagi membolehkan organisasi tersebut menjana pendapatan sekali gus mengembangkan lagi operasinya.

Turut diluluskan pada sidang berkenaan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Pindaan) 2015 yang berkuat kuasa pada 1 Oktober ini.

Rang undang-undang itu adalah untuk meminda Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 yang antaranya bertujuan memperluaskan skop individu layak dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. #sumber