Pantai Teluk Chempedak
Pantai Teluk Cempedak terletak kira-kira 5 km dari Kuantan, Pahang, Malaysia. Ia merupakan tempat perkelahan yang popular dan menjadi tumpuan ramai terutamanya pada hujung minggu. Mempunyai pasir pantai yang bewarna putih melepak dan gebu. Kerajaan Negeri Pahang telah membina pelbagai kemudahan di Teluk Cempedak.
Pantai Sepat
Tanjung Sepat atau lebih dikenali sebagai Pantai Sepat merupakan sebuah kampung Melayu biasa yang terletak kira-kira 10 km dari Kuantan dan terletak di selatan bandar diraja Pekan. Dari Kuantan, ia boleh dicapai melalui Jalan Abu Bakar 183 dan merupakan satu cara alternatif untuk ke bandar diraja Pekan. Pantai yang mencerun ke laut untuk beberapa meter dan kemudian tiba-tiba jatuh dalam, kelihatan seperti curam ke laut tapi amat tenang.
Pantai Cherating
Cherating merupakan sebuah bandar pantai terkenal di negeri Pahang, Malaysia. Pantai yang menghadap Laut China Selatan ini terletak kira-kira 50 km (45 minit perjalanan) dari Kuantan. Pantai Cherating merupakan tempat perkelahan yang popular dan juga merupakan tapak Resort Club Med yang terkenal dan juga merupakan yang pertama di Asia.
Pantai Balok
Pantai Balok yang terletak kira-kira 15 kilometer ke utara Kuantan. Di pantai ini terdapat sebuah pusat rekreasi yang menyediakan kemudahan berkhemah kepada orang ramai dan amat sesuai untuk kegiatan luar sama ada untuk persatuan beruniform sekolah-sekolah mahupun keluarga. Kesesuaiannya dengan pelbagai kegiatan rekreasi juga menyebabkan pantai ini sering menjadi pilihan kepada banyak pihak di Kuantan untuk aktiviti hari keluarga.
Pantai Batu Hitam
Batu Hitam merupakan sebuah pantai yang popular dengan penduduk tempatan dan pengunjung hujung minggu Malaysia selain Balok dan Teluk Cempedak. Terletak kira-kira 10 km dari Kuantan, pantai ini dipanggil Batu Hitam untuk bentangan batu hitamnya pada pantai berpasir putih. Kawasan berpantai itu selalunya penuh sesak sepanjang hujung minggu oleh pekelah-pekelah dari jauh dan dekat.