MPK Kunci Tayar 438 Buah Kenderaan


KUANTAN: Sebanyak 438 kenderaan telah diambil tindakan apit roda (kunci tayar) oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sejak Januari lalu hingga kini yang membabitkan kesalahan meletakkan kenderaan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Perhubungan Awam MPK, Nurul Sulaiman berkata, sebanyak 200,000 notis kompaun telah dikeluarkan sejak Januari 2015 sehingga kini. Namun hanya 40 peratus daripada jumlah tersebut telah menjelaskan kompaun, manakala selebihnya belum berbuat demikian.

Sehubungan itu, MPK kini sedang menjalankan Operasi Waran Tangkap bagi pesalah di bawah akta tersebut bagi yang gagal menjelaskan tunggakan.

Menurutnya, tindakan membawa kes ke mahkamah merupakan langkah terakhir MPK yang bertujuan mendidik dan memupuk kesedaran pengguna jalan raka di Kuantan.

“Pelbagai tuduhan dan dakwaan telah dilemparkan kepada MPK berhubung perlaksanaan undang-undang ini antaranya menjalankan tindakan penguatkuasaan pada hari cuti am, umum ,cuti peristiwa dan kawasan perumahan.

“Untuk makluman, tindakan penguatkuasaan tidak mengira hari cuti am dan cuti umum. Tindakan berbuat demikian berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan bagi kelancaran lalu lintas di bandar Kuantan.

Selain itu, beliau menjelaskan, tindakan penguatkuasaan pada luar waktu biasa pula diambil ke atas kenderaan yang membuat halangan lalu lintas sahaja dan MPK tidak menjalankan penguatkuasaan pada waktu solat Jumaat.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan MPK mengambil tindakan penguatkuasaan di kawasan hospital kerana kawasan tersebut bukan kawasan yang diwartakan.

“Untuk makluman, ada juga segelintir pengguna jalan raya menyalahgunakan kupon bulanan seperti kupon tamat tempoh, penipuan, meminda tarikh pada kupon, kupon digunakan pada kenderaan lain dan tidak mempamerkan kupon bulanan semasa pemeriksaan dibuat.

“MPK bukan mahu beri hukuman kepada mereka, tetapi lebih mendidik masyarakat agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai tunggakan disaran menjelaskan kompaun tersebut dan bagi yang mempunyai masalah menjelaskannnya, pihak MPK sedia berbincang dan memberi kelonggaran untuk membuat rayuan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Undang-undang dan pendakwaan di talian 09-5121640 atau Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MPK di talian 09-5121669 atau layari laman web www.mpk.gov.my. #sumber

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best WordPress Themes