JAIP Mendakwa Ayam Plastik Biru Halal


KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) semalam mengesahkan ayam yang dibaluti plastik biru di sebuah pasar raya di daerah ini adalah halal dan tidak mendatangkan sebarang syak kepada umat Islam.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jaip, Noridzuan Abdul Manan, berkata, ayam yang diimport dari China itu disembelih di sebuah loji penyembelihan yang disahkan halal sebuah pertubuhan Islam yang diiktiraf di negara itu.

Menurutnya, loji berkenaan juga diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan orang ramai boleh merujuk laman web JPVM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.


“Bukan semua produk yang disahkan halal di dunia perlu diletakkan logo halal Malaysia. Jika produk dari luar negara maka ia hadir bersama logol halal pertubuhan Islam yang diiktiraf di negara itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gambar yang dimuat naik dari Facebook.

Facebook milik seorang individu yang memuat naik gambar ayam yang masih dibaluti plastik biru yang dipercayai dari China dan mendakwa diragui status halal.



Facebook berkenaan juga menyebut pekerja pasar raya terlupa membuka balutan plastik ketika menyusun ayam selain tiada tanda logo halal dari Jaip.

Noridzuan berkata, Sesetengah isu memerlukan pengesahan terlebih dahulu supaya tidak meresahkan pelanggan Islam,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tiada sebarang isu berkaitan keraguan status halal dan pengguna Islam tidak perlu risau dengan status ayam import.

Noridzuan berkata, kes yang sama pernah berlaku di sebuah pasar raya tahun lepas dan hasil siasatan Jaip mengesahkan ayam berkenaan halal dan diiktiraf Jakim dan JPVM.
Beliau juga mengesahkan bekalan ayam potong yang diimport dari China juga adalah halal dan melalui cara yang sah.

Noridzuan juga mahu pengguna lebih prihatin dengan mengenali kesemua logo pertubuhan Islam yang diiktiraf di dunia serta mengetahui loji penyembelihan yang diperakui di Malaysia.

“Ia bagi mengelakkan pelbagai dakwaan dan komen negatif terhadap pihak berkuasa selain menimbulkan kegelisahan pengguna tanpa usul periksa.

Bagaimanapun, katanya, keprihatinan pelbagai pihak berkaitan isu halal, tetap dihargai dan Jaip akan mengambil tindakan sewajarnya jika peniaga dan industri yang cuba memalsukan perakuan dan penandaan Halal. #sumber

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best WordPress Themes