PEKAN: Bermula tahun hadapan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan mengedarkan senarai kedai makan dan restoran milik orang Islam di negeri ini yang tidak memiliki sijil halal.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, ia bagi membolehkan umat Islam memilih tempat menjamu selera yang bukan sahaja bersih tetapi lebih penting mematuhi hukum syarak.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi mengelakkan kekeliruan kalangan pengguna Islam memandangkan ada banyak premis menjual makanan milik orang Islam tidak memiliki sijil halal.
“Kedai atau restoran yang dimiliki oleh orang Islam dengan pekerjanya memakai berkopiah dan di dinding kedai tertera tulisan jawi tidak bermakna mereka memiliki sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Siasatan Muip mendapati tidak banyak kedai makan dan restoran di negeri ini memiliki sijil halal. Mereka seolah-olah mengambil mudah dan tidak pernah berusaha mendapatkan sijil berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ziarah prihatin Muip di Hospital Pekan di sini, semalam.
Hadir sama, Pengarah hospital Pekan, Datuk Dr Daud Othman.
Pada program itu, Muip menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia cawangan Hospital Pekan dan bantuan peralatan perubatan bernilai RM8,450.
Wan Abdul Wahid berkata, sebelum mengedarkan senarai berkenaan, Muip terlebih dahulu melakukan pemeriksaan di premis terbabit dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.
Beliau berkata, ia termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
“Selepas itu, Muip akan keluarkan senarai premis yang tidak mempunyai sijil halal.
"Tetapi, terpulang kepada pengguna untuk terus mengunjungi premis makanan terbabit atau sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kebersihan premis, sumber bekalan ayam dan daging serta produk yang digunakan dalam penyediaan hidangan adalah faktor utama diambil kira sebelum mana-mana premis diberikan sijil halal.
“Muip tidak mahu umat Islam di negeri terus tertipu dengan pelbagai helah digunakan pemilik kedai makan dan restoran seolah-olah mereka memiliki sijil halal. #sumber