Operasi Pembaharuan Lesen MPK 2016


KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengeluarkan 185 kompaun terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan ketika Operasi Pembaharuan Lesen 2016 yang diadakan di sekitar kawasan Gambang, Taman Tas dan Batu 8 Jalan Gambang di sini, kelmarin.

Dalam operasi yang bermula pada 4 Januari lalu itu, kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM18,500 dikeluarkan.

MPK dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu bertujuan memastikan semua peniaga atau pelesen memperbaharui lesen mereka.

Menurut kenyataan tersebut, pada masa sama MPK juga ingin pastikan perniagaan yang dijalankan pemilik lesen adalah sama seperti dilesenkan dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Dalam operasi itu, sebanyak 492 premis perniagaan diperiksa dan kompaun dikeluarkan terhadap pelesen kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya pekerja tidak memiliki kad kesihatan, tidak mempamerkan lesen perniagaan dan meletakkan iklan tanpa kelulusan.

"Operasi itu akan diteruskan bagi memastikan pemegang lesen melunaskan tanggungjawab dan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

"Justeru, semua peniaga dinasihatkan agar perbaharui lesen perniagaan untuk 2016 dengan segera bagi mengelak tindakan penguatkuasaaan," menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kawalan Perniagaan dan perlesenan MPK di talian 09-5121577 atau layari laman web www.mpk.gov.my. #sumber

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best WordPress Themes