Ada Pasangan Nikah Tidak Ikut Syarak


KUANTAN: Segelintir pasangan yang bakal berkahwin di negeri ini dikesan mengambil jalan mudah melakukan pernikahan yang berlawanan dengan Undang-undang Keluarga Islam Pahang sehingga ada kes perkahwinan mereka terpaksa dibubarkan (faraq) kerana tidak menepati syarak.

Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Mohammad Abdul Qahar Abd Aziz (foto) berkata, perkahwinan tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri adalah berlawanan undang-undang.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman, ada pasangan yang tidak sabar memilih untuk bernikah di luar negara termasuk di Selatan Thailand.

“Ada juga yang berkahwin di Malaysia tetapi mendapat sijil nikah dari Selatan Thailand yang diuruskan pihak tertentu tanpa tauliah.

“Apabila ada permohonan mendaftarkan semula perkahwinan itu di sini, mereka perlu kemukakan bukti perkahwinan itu termasuk gambar, dokumen, surat perakuan konsulat dan surat sokongan lain untuk diangkat ke mahkamah syariah bagi tujuan pertimbangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohammad Abdul Qahar berkata, mahkamah syariah akan membuat keputusan sama ada perkahwinan itu menepati rukun dan syarat sah nikah atau sebaliknya sebelum kebenaran diberikan untuk pasangan terbabit mendaftarkan perkahwinan di pejabat kadi berhampiran.

“Walaupun perkahwinan itu sah, pasangan terbabit akan didenda kerana melakukan perkahwinan yang berlawanan undang-undang.

“Sekiranya sesebuah perkahwinan itu didapati tidak sah, mahkamah akan faraq pernikahan tersebut manakala pasangan akan diperintahkan bernikah semula selain berdepan hukuman denda,” katanya.

Justeru, beliau meminta mana-mana pasangan yang berkahwin melalui jalan yang berlawanan undang-undang ini supaya tampil mendaftarkan perkahwinan dengan segera supaya statusnya dapat disahkan.

“Kita bimbang, sekiranya perkahwinan bermasalah itu tidak didaftarkan, ia akan memberi kesan kepada keluarga itu sendiri termasuk kesukaran mendaftarkan anak dan masalah pembahagian harta pusaka jika kematian suami,” katanya.

Beliau berkata, bagi pasangan di negeri ini yang bakal berkahwin, mereka disaran hadir ke pejabat kadi daerah terdekat untuk memohon kebenaran berkahwin.

“Permohonan mereka akan disemak melibatkan beberapa perkara utama antaranya pasangan itu sendiri sama ada mereka boleh berkahwin atau tidak  selain wali yang sah.
“Setelah segala syarat dipenuhi, surat kebenaran berkahwin dan akad nikah bagi pasangan itu akan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab pendaftar nikah, cerai dan rujuk adalah meneliti pasangan dari segi kelayakan berkahwin, misalnya lelaki tidak memiliki empat isteri semasa permohonan dibuat.#sumber

HTAA Pasang, Hawa Dingin Berasingan


KUANTAN: Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini memasang sistem penghawa dingin sementara di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu sebagai langkah penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi masalah panas di unit ICU.

Pengarahnya Datuk Dr Ardi Awang (foto) berkata tujuh unit penghawa dingin berasingan itu dipasang di ICU hasil perbincangan bersama pihak konsesi hospital yang bersedia membekalkan kemudahan itu secara pinjaman.

"Enam unit penghawa dingin sudah siap dipasang manakala satu lagi unit  masih dalam proses pemasangan," katanya pada sidang media di hospital itu pada Selasa.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman.

Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan penghawa dingin di ICU hospital itu tidak berfungsi menyebabkan tingkap terpaksa dibiarkan terbuka untuk membolehkan udara masuk selain kipas berdiri digunakan bagi menyejukkan pesakit dan peralatan penting.

Kakitangan di unit berkenaan juga terpaksa bekerja dalam keadaan panas berikutan tiada jalan penyelesaian segera diambil.

Terpanggil dengan masalah itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan maklum balas menerusi laman sosial Facebooknya dan mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya mengambil tindakan segera untuk menangani masalah itu.

Sementara itu, Dr Ardi berkata kos penyelenggaraan hospital itu tahun ini dijangka menelan belanja RM38 juta, melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan di enam bahagian perkhidmatan sokongan hospital. #sumber

SPEAR An Untold Story Of Sg.Lembing


Saksikannya di panggung wayang Sungai Lembing pada hari Sabtu minggu pertama dan ketiga. Versi Inggeris akan ditayangkan pada jam 10 pagi dan Versi Bahasa Melayu pada jam 3 petang. 

Promosi tiket sehingga bulan Jun 2016, dewasa adalah sebanyak RM7.45 manakala kanak-kanak pula adalah Rm 3.20. Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Unit Sungai Lembing di talian 09-5411480. Warga Kuantan adalah dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan lagi acara ini nanti.#sumber

Pembaharuan Lesen Perniagaan & Iklan


Pembaharuan lesen premis perniagaan/iklan bagi tahun 2016 boleh diperbaharui mulai 01 Disember 2015 di lokasi seperti berikut:
  • Kaunter Lesen, Bahagian Pelesenan MPK
  • Kaunter Berpusat, Ibu Pejabat MPK, Jalan Tanah Putih
  • Kaunter Pejabat MPK, UTC
  • Kaunter Pejabat Pengurusan Gebeng
  • Kaunter Pejabat Pengurusan Gambang
  • Secara Online di http://e-lesen.mpk.gov.my/
  • Megamall ( 9 dan 10 Januari 2016)
  • East Coast Mall ( 16 dan 17 Januari 2016)
Kami menghargai peniaga-peniaga yang bertanggungjawab bagi mengelakkan denda dan kompaun pada masa akan datang. #sumber

Operasi Pembaharuan Lesen MPK 2016


KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengeluarkan 185 kompaun terhadap peniaga atas pelbagai kesalahan ketika Operasi Pembaharuan Lesen 2016 yang diadakan di sekitar kawasan Gambang, Taman Tas dan Batu 8 Jalan Gambang di sini, kelmarin.

Dalam operasi yang bermula pada 4 Januari lalu itu, kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM18,500 dikeluarkan.

MPK dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu bertujuan memastikan semua peniaga atau pelesen memperbaharui lesen mereka.

Menurut kenyataan tersebut, pada masa sama MPK juga ingin pastikan perniagaan yang dijalankan pemilik lesen adalah sama seperti dilesenkan dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Dalam operasi itu, sebanyak 492 premis perniagaan diperiksa dan kompaun dikeluarkan terhadap pelesen kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya pekerja tidak memiliki kad kesihatan, tidak mempamerkan lesen perniagaan dan meletakkan iklan tanpa kelulusan.

"Operasi itu akan diteruskan bagi memastikan pemegang lesen melunaskan tanggungjawab dan mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.

"Justeru, semua peniaga dinasihatkan agar perbaharui lesen perniagaan untuk 2016 dengan segera bagi mengelak tindakan penguatkuasaaan," menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kawalan Perniagaan dan perlesenan MPK di talian 09-5121577 atau layari laman web www.mpk.gov.my. #sumber

Elak Isu, Segera Daftarkan Perkahwinan


KUANTAN: Umat Islam di negeri ini yang bernikah di luar negara terutamanya di selatan Thailand, perlu segera mendaftarkannya di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi mengelak masalah berbangkit terutamanya melibatkan zuriat mereka.

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Ghazali Abd Aziz (foto) berkata kegagalan pasangan Islam berbuat demikian akan menyebabkan kesulitan daripada segi dokumentasi zuriat mereka dan pelanggaran undang-undang keluarga Islam yang ditetapkan jabatan itu.

"Antara kesulitan yang mungkin timbul adalah untuk menyekolahkan anak mereka berikutan tiada dokumen yang sah.

"Selain itu akan berlaku kesukaran apabila anak hendak melangsungkan perkahwinan kerana bapa tidak boleh jadi wali sebab perkahwinan ibu bapa tidak didaftar di JAIP," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Ghazali berkata, tahun ini JAIP berjaya mengesan seramai 153 pasangan di daerah Kuantan yang telah lama berkahwin di luar negara tetapi hanya mendaftarkan perkahwinan mereka setelah menghadapi masalah.

"Akibat lewat mendaftarkan perkahwinan, ada pasangan yang telah berkahwin selama 20 tahun tetapi didapati perkahwinan mereka tidak sah, terpaksa bernikah semula kerana perkahwinan itu wajib 'dibubarkan'.

"Ini yang kita mahu elak sebab akan menimbulkan keraguan daripada segi status anak yang dilahirkan," katanya.

Mengulas mengenai mengapa pasangan berkenaan memilih berkahwin di luar negara, Ghazali tidak menolak masalah mendapat kebenaran wali serta gagal mendapat persetujuan keluarga atau kebenaran untuk berpoligami, menjadi faktor pasangan berkenaan memilih bernikah di luar negara.

"Ingin saya hebahkan di sini, JAIP sedaya upaya akan membantu pasangan yang ingin berkahwin jika mereka menghadapi kesulitan. Jika perlu kita akan rujuk masalah demikian kepada mahkamah syariah agar perkahwinan berkenaan boleh dilangsungkan dengan prosedur yang ditetapkan," katanya. #sumber

Senarai Restoran Tiada Sijil Halal Diedar


PEKAN: Bermula tahun hadapan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan mengedarkan senarai kedai makan dan restoran milik orang Islam di negeri ini yang tidak memiliki sijil halal.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, ia bagi membolehkan umat Islam memilih tempat menjamu selera yang bukan sahaja bersih tetapi lebih penting mematuhi hukum syarak.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi mengelakkan kekeliruan kalangan pengguna Islam memandangkan ada banyak premis menjual makanan milik orang Islam tidak memiliki sijil halal.

“Kedai atau restoran yang dimiliki oleh orang Islam dengan pekerjanya memakai berkopiah dan di dinding kedai tertera tulisan jawi tidak bermakna mereka memiliki sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Siasatan Muip mendapati tidak banyak kedai makan dan restoran di negeri ini memiliki sijil halal. Mereka seolah-olah mengambil mudah dan tidak pernah berusaha mendapatkan sijil berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program ziarah prihatin Muip di Hospital Pekan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah hospital Pekan, Datuk Dr Daud Othman.
Pada program itu, Muip menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia cawangan Hospital Pekan dan bantuan peralatan perubatan bernilai RM8,450.

Wan Abdul Wahid berkata, sebelum mengedarkan senarai berkenaan, Muip terlebih dahulu melakukan pemeriksaan di premis terbabit dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.
Beliau berkata, ia termasuk Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Selepas itu, Muip akan keluarkan senarai premis yang tidak mempunyai sijil halal.
"Tetapi, terpulang kepada pengguna untuk terus mengunjungi premis makanan terbabit atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kebersihan premis, sumber bekalan ayam dan daging serta produk yang digunakan dalam penyediaan hidangan adalah faktor utama diambil kira sebelum mana-mana premis diberikan sijil halal.

“Muip tidak mahu umat Islam di negeri terus tertipu dengan pelbagai helah digunakan pemilik kedai makan dan restoran seolah-olah mereka memiliki sijil halal. #sumber

Jangan Hanya Tuding Jadi Kepada MPK


KUANTAN: “Jangan menuding jari kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sesuka hati kerana tugas tersebut adalah tanggungjawab agensi yang lain,” demikian respons Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob terhadap tuduhan sesetengah pihak  berikutan kebanjiran warga asing yang bekerja di restoran dan kedai makan di kawasan pentadbiran itu.

Zulkifli berkata,  tuduhan tidak berasas pihak berkenaan adalah tidak tepat kerana tanggapan kerana penguatkuasaan terhadap warga asing membabitkan agensi penguatkuasaan lain.

“Dalam isu ini masyarakat masih beranggapan bahawa sebarang masalah yang dihadapi dikendalikan oleh MPK sedangkan kita lebih kepada memberikan perkhidmatan membabitkan kawasan pentadbiran MPK.

“Sebagai contoh, kutipan sampah dan pemotongan rumput dilakukan agensi lain tetapi masih ramai yang beranggapan bahawa ia di bawah bidang kuasa MPK,” katanya ketika Mesyuarat Penuh MPK di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedia memberikan kerjasama termasuk menyalurkan maklumat kepada agensi penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan lain, MPK masih memburu 41 pesalah trafik membabitkan 1,916 kompaun dengan jumlah RM48,700.

Zulkifli berkata, pihaknya akan meneruskan operasi mengesan pesalah berdasarkan alamat yang ada.

Menurutnya, 41 kes yang dikesan itu membabitkan kesalahan tidak meletakkan kupon dan meletakkan kenderaan di luar petak.

“Sebanyak 41 kes di kesan untuk operasi yang dijalankan semalam. Sebelum ini 27 kes sudah di kesan dan tindakan sudah diambil.

“Kebanyakan kes adalah melibatkan jumlah kompaun RM1,500 ke atas dan mengalami tunggakan bertahun-tahun,” katanya.

Zulkifli berkata, MPK perlu bertindak tegas dalam pelaksanaan undang-undang memandangkan pelbagai kompromi sudah diberikan sebelum tindakan mengeluarkan waran tangkap di buat.

Katanya, operasi waran tangkap akan dijalankan secara berterusan agar pesalah menjelaskan tunggakan yang mencecah ribuan ringgit.

Sementara itu Zulkifli berkata, tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan yang didapati meletak kenderaan di kawasan larangan di pantai peranginan Teluk Cempedak.

Beliau berkata,  tiada lagi budi bicara sebaliknya tindakan mengunci tayar atau menunda kenderaan yang diletak di luar kawasan dibenarkan adalah tindakan terbaik untuk mendidik pemilik kenderaan.

“Kita mengambil tindakan atas kepentingan orang ramai bukan atas kepentingan individu.

“Ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada cuti hujung minggu hingga memberi imej negatif disebabkan sikap mementingkan diri pemilik kenderaan yang berdegil,” katanya. #sumber

MPK Lapor Polis, Viral Saman Parking


KUANTAN: Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tidak berkompromi dan teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan dengan membuat laporan polis berhubung isu parkir yang menjadi viral menerusi satu poster ‘Protes Rakyat’ di laman sosial dalam tempoh terdekat ini.

Yang Di Pertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, MPK memandang serius perkara tersebut kerana poster itu dianggap keterlaluan hingga boleh mencetuskan fitnah.

“Viral isu parkir ini mempunyai unsur hasutan yang dipamerkan melalui satu poster berjudul ‘protes rakyat’ yang menuduh MPK umpama Zionis atau Yahudi kerana bertindak mengunci sebuah kenderaan kerana melakukan kesalahan meletakkan kenderaan.

“Orang yang terbabit juga menggunakan nama YDP  di dalam poster tersebut bagi menghentam tindakan majlis yang mengunci kenderaan sewenangnya, ia boleh memberikan gambaran tidak baik oleh orang ramai terhadap MPK sekali gus hentaman demikian tidak wajar dilakukan.

“Justeru, dengan tindakan susulan itu, pihak majlis akan meminta kerjasama pihak berkuasa untuk memberi amaran terhadap individu berkenaan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat bulanan MPK, Kuantan, di sini, semalam.




Menurutnya, sebahagian besar pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai undang-undang kecil dalam meletakkan kenderaan di dalam kawasan bandar dan semua tindakan penguatkuasaan telah dijalankan dengan penuh berhemah.

“Sebagai contoh, penguat kuasa kita pun tidak akan menyaman sekiranya memakir kenderaan di hadapan masjid ketika Solat Jumaat atau  pada waktu puncak pasar tani berhadapan UTC pada hari Ahad kerana kita faham kekurangan tempat letak kenderaan dan sekiranya dilakukan maka ini bermakna penguat kuasa tidak berhemah menjalankan tugasan mereka.

“Tindakan yang diambil MPK adalah yang paling ringan berbanding PBT lain sama ada di Georgetown, Johor Baru, Kelantan, Melaka dan sebagainya di mana sekiranya meletakkan kereta di luar petak atau tanpa membayar dalam tempoh lima minit, kenderaan anda mungkin sudah ditunda ke lokasi lain.

“Kita pun sudah pun mengenal pasti individu tersebut, dia turut mempunyai nilai kompaun yang tinggi, dia mungkin tidak sebut dan hanya menyalahkan kita namun dia mempunyai kira-kira 90 kompaun yang belum dijelaskan,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, sekiranya orang ramai tidak mahu mengikut undang-undang maka tidak bermakna kewujudan pihak berkuasa.

“Dengan adanya undang-undang tidak kira sama ada melibatkan parkir kereta, pembukaan premis atau sebaliknya haruslah kita patuhi.

“Pihak majlis tidak seharusnya tunduk kepada orang yang viralkan hal demikian kerana ia menjadi tidak adil kepada mereka yang membayar saman, kompaun atau sebagainya,” katanya.#sumber

MPK Cadang Tidak Benar Pekerja Asing


KUANTAN:  Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bercadang untuk memohon kerjasama kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan agar tidak membenarkan pekerja asing bekerja di daerah ini sewenangnya.

Yang DiPertua MPK, Datuk Zulkifli Yaakob (foto) berkata, perkara tersebut perlu dikemukakan dan mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu memandangkan tindakan tersebut turut melibatkan banyak agensi.

“Kita tidak mahu ramai pekerja asing di sini terutama yang bekerja di pusat hiburan dan spa memandangkan kebanyakan mereka tidak ada permit serta hanya menggunakan pas pelancong.

“Kewujudan pusat hiburan dan juga spa juga semakin banyak dengan pengambilan warga asing yang ramai hinggakan di sesetengah tempat seperti di Putera Square kita dapat lihat ia seakan ‘Little Bangkok’.

“Justeru itu, kita memerlukan kerjasama dan persetujuan agar Kuantan terus mempunyai imej yang baik dan bukannya mendapat gelaran Little Bangkok atau Little Hadyai daripada orang tempatan atau pelancong,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPK, di sini, kelmarin.

Menurutnya, MPK akan turut mencadangkan syarat baharu dikemukakan kepada pengusaha sebelum membuka kedai melibatkan pekerja asing.

“Kita akan menetapkan syarat baharu bagi mana-mana pengusaha yang ingin membuka spa dan pusat hiburan dan ini dilihat lebih adil daripada kita mengarahkan mereka menutup terus perniagaan.

“Kita boleh bagi denda atau kompaun tetapi penglibatan pekerja asing yang tidak menggunakan permit kerja dan hanya menggunakan pas pelancong tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, kewujudan dan kebanjiran pekerja asing juga membawa kepada masalah sosial.

“Pekerja asing juga dilihat sebagai penyumbang masalah sosial dan dengan cara ini sedikit-sebanyak mengelakkan mereka mencemarkan nama dan imej bandar ini,” katanya. #sumber

JAIP Mendakwa Ayam Plastik Biru Halal


KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) semalam mengesahkan ayam yang dibaluti plastik biru di sebuah pasar raya di daerah ini adalah halal dan tidak mendatangkan sebarang syak kepada umat Islam.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jaip, Noridzuan Abdul Manan, berkata, ayam yang diimport dari China itu disembelih di sebuah loji penyembelihan yang disahkan halal sebuah pertubuhan Islam yang diiktiraf di negara itu.

Menurutnya, loji berkenaan juga diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan orang ramai boleh merujuk laman web JPVM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.


“Bukan semua produk yang disahkan halal di dunia perlu diletakkan logo halal Malaysia. Jika produk dari luar negara maka ia hadir bersama logol halal pertubuhan Islam yang diiktiraf di negara itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gambar yang dimuat naik dari Facebook.

Facebook milik seorang individu yang memuat naik gambar ayam yang masih dibaluti plastik biru yang dipercayai dari China dan mendakwa diragui status halal.



Facebook berkenaan juga menyebut pekerja pasar raya terlupa membuka balutan plastik ketika menyusun ayam selain tiada tanda logo halal dari Jaip.

Noridzuan berkata, Sesetengah isu memerlukan pengesahan terlebih dahulu supaya tidak meresahkan pelanggan Islam,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tiada sebarang isu berkaitan keraguan status halal dan pengguna Islam tidak perlu risau dengan status ayam import.

Noridzuan berkata, kes yang sama pernah berlaku di sebuah pasar raya tahun lepas dan hasil siasatan Jaip mengesahkan ayam berkenaan halal dan diiktiraf Jakim dan JPVM.
Beliau juga mengesahkan bekalan ayam potong yang diimport dari China juga adalah halal dan melalui cara yang sah.

Noridzuan juga mahu pengguna lebih prihatin dengan mengenali kesemua logo pertubuhan Islam yang diiktiraf di dunia serta mengetahui loji penyembelihan yang diperakui di Malaysia.

“Ia bagi mengelakkan pelbagai dakwaan dan komen negatif terhadap pihak berkuasa selain menimbulkan kegelisahan pengguna tanpa usul periksa.

Bagaimanapun, katanya, keprihatinan pelbagai pihak berkaitan isu halal, tetap dihargai dan Jaip akan mengambil tindakan sewajarnya jika peniaga dan industri yang cuba memalsukan perakuan dan penandaan Halal. #sumber

MUIP Laksana Pemutihan Perkahwinan


KUANTAN: Pasangan di Pahang yang berkahwin mengunakan saluran tidak sah termasuk di wilayah selatan Thailand, diberi tempoh tiga bulan untuk mendaftarkan perkahwinan mereka tanpa dikenakan tindakan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan (foto) berkata tempoh 'pemutihan' itu akan bermula pada 2 November 2015 dan tamat pada 2 Februari tahun hadapan.

"Sepanjang tempoh itu, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan memberi peluang kepada mereka membuat pendaftaran dan hanya perlu menjelaskan bayaran dokumentasi sahaja.
    
"Pasangan berkenaan juga akan dibantu melalui siasatan, sama ada perkahwinan yang dibuat mengikut syariat yang telah ditetapkan atau perlu dinikahkan semula dan sebagainya," katanya pada sidang media baru-baru  ini.

Wan Abdul Wahid berkata antara perkahwinan yang perlu didaftarkan adalah yang dilakukan di selatan Thailand seperti di Naratiwat, Pattani, Songkhla, Yala, Satun dan lain-lain yang tidak memohon serta gagal mendapat kebenaran berkahwin secara bertulis daripada pejabat agama Islam daerah.

Ia juga meliputi perkahwinan sindiket yang berlangsung di dalam negara seperti di Kuantan, namun pasangan berkenaan memperoleh sijil perkahwinan daripada Majlis Agama Islam wilayah Selatan Thailand.   

Wan Abdul Wahid memaklumkan rekod menunjukkan terdapat peningkatan untuk kes perkahwinan di selatan Thailand iaitu seramai 210 pasangan bagi tempoh Januari
hingga Oktober ini, berbanding 207 pasangan pada tahun lalu dan 175 pada 2013.
    
Sehubungan itu, beliau menegaskan perkahwinan di wilayah selatan Thailand tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (EUKI) Pahang 2005.

Pasangan yang terlibat boleh didakwa antaranya mengikut Seksyen 40(2) EUKI iaitu kesalahan berhubung akad nikah dan Seksyen 124 EUKI bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
     
"Sijil perkahwinan yang diperoleh daripada mana-mana wilayah Selatan Thailand tidak diiktiraf untuk kegunaan rasmi negara ini, menyebabkan timbul beberapa masalah seperti tidak mendapat sijil kelahiran anak, sekali gus menjejaskan pendaftaran persekolahan mereka.

"Mereka juga akan berdepan masalah menuntut hak jika berlaku perceraian dan jika salah seorang pasangan itu mati, maka pasangan dan anak tiada hak menuntut harta pusaka," katanya. #sumber

MPK Kunci Tayar 438 Buah Kenderaan


KUANTAN: Sebanyak 438 kenderaan telah diambil tindakan apit roda (kunci tayar) oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sejak Januari lalu hingga kini yang membabitkan kesalahan meletakkan kenderaan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pegawai Perhubungan Awam MPK, Nurul Sulaiman berkata, sebanyak 200,000 notis kompaun telah dikeluarkan sejak Januari 2015 sehingga kini. Namun hanya 40 peratus daripada jumlah tersebut telah menjelaskan kompaun, manakala selebihnya belum berbuat demikian.

Sehubungan itu, MPK kini sedang menjalankan Operasi Waran Tangkap bagi pesalah di bawah akta tersebut bagi yang gagal menjelaskan tunggakan.

Menurutnya, tindakan membawa kes ke mahkamah merupakan langkah terakhir MPK yang bertujuan mendidik dan memupuk kesedaran pengguna jalan raka di Kuantan.

“Pelbagai tuduhan dan dakwaan telah dilemparkan kepada MPK berhubung perlaksanaan undang-undang ini antaranya menjalankan tindakan penguatkuasaan pada hari cuti am, umum ,cuti peristiwa dan kawasan perumahan.

“Untuk makluman, tindakan penguatkuasaan tidak mengira hari cuti am dan cuti umum. Tindakan berbuat demikian berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan bagi kelancaran lalu lintas di bandar Kuantan.

Selain itu, beliau menjelaskan, tindakan penguatkuasaan pada luar waktu biasa pula diambil ke atas kenderaan yang membuat halangan lalu lintas sahaja dan MPK tidak menjalankan penguatkuasaan pada waktu solat Jumaat.

Sementara itu, beliau menyangkal dakwaan MPK mengambil tindakan penguatkuasaan di kawasan hospital kerana kawasan tersebut bukan kawasan yang diwartakan.

“Untuk makluman, ada juga segelintir pengguna jalan raya menyalahgunakan kupon bulanan seperti kupon tamat tempoh, penipuan, meminda tarikh pada kupon, kupon digunakan pada kenderaan lain dan tidak mempamerkan kupon bulanan semasa pemeriksaan dibuat.

“MPK bukan mahu beri hukuman kepada mereka, tetapi lebih mendidik masyarakat agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai tunggakan disaran menjelaskan kompaun tersebut dan bagi yang mempunyai masalah menjelaskannnya, pihak MPK sedia berbincang dan memberi kelonggaran untuk membuat rayuan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Undang-undang dan pendakwaan di talian 09-5121640 atau Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MPK di talian 09-5121669 atau layari laman web www.mpk.gov.my. #sumber

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best WordPress Themes