Elak Isu, Segera Daftarkan Perkahwinan


KUANTAN: Umat Islam di negeri ini yang bernikah di luar negara terutamanya di selatan Thailand, perlu segera mendaftarkannya di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi mengelak masalah berbangkit terutamanya melibatkan zuriat mereka.

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Ghazali Abd Aziz (foto) berkata kegagalan pasangan Islam berbuat demikian akan menyebabkan kesulitan daripada segi dokumentasi zuriat mereka dan pelanggaran undang-undang keluarga Islam yang ditetapkan jabatan itu.

"Antara kesulitan yang mungkin timbul adalah untuk menyekolahkan anak mereka berikutan tiada dokumen yang sah.

"Selain itu akan berlaku kesukaran apabila anak hendak melangsungkan perkahwinan kerana bapa tidak boleh jadi wali sebab perkahwinan ibu bapa tidak didaftar di JAIP," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Ghazali berkata, tahun ini JAIP berjaya mengesan seramai 153 pasangan di daerah Kuantan yang telah lama berkahwin di luar negara tetapi hanya mendaftarkan perkahwinan mereka setelah menghadapi masalah.

"Akibat lewat mendaftarkan perkahwinan, ada pasangan yang telah berkahwin selama 20 tahun tetapi didapati perkahwinan mereka tidak sah, terpaksa bernikah semula kerana perkahwinan itu wajib 'dibubarkan'.

"Ini yang kita mahu elak sebab akan menimbulkan keraguan daripada segi status anak yang dilahirkan," katanya.

Mengulas mengenai mengapa pasangan berkenaan memilih berkahwin di luar negara, Ghazali tidak menolak masalah mendapat kebenaran wali serta gagal mendapat persetujuan keluarga atau kebenaran untuk berpoligami, menjadi faktor pasangan berkenaan memilih bernikah di luar negara.

"Ingin saya hebahkan di sini, JAIP sedaya upaya akan membantu pasangan yang ingin berkahwin jika mereka menghadapi kesulitan. Jika perlu kita akan rujuk masalah demikian kepada mahkamah syariah agar perkahwinan berkenaan boleh dilangsungkan dengan prosedur yang ditetapkan," katanya. #sumber

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Best WordPress Themes